Categories
AGENSI SELANGOR

Covid-19: Selangor tiada kes penularan tempatan kali ke-45

SHAH ALAM, 18 OGOS: Tiada kes baharu Covid-19 direkodkan di Selangor hari ini menjadikan jumlah keseluruhan wabak itu 2,150, maklum Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

Bagaimanapun pasukan itu mengingatkan penduduk Selangor tidak leka dengan perkembangan tersebut.

“Tiada kes baharu Covid-19, namun rutin diri patut diingati, gunakan aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) di premis untuk merekod pengunjung. Jangan cuai dan leka,” katanya menerusi Twitter.

Sementara itu, Bilik Gerakan Negeri Selangor memaklumkan hari ini adalah kali ke-45 negeri ini tidak merekodkan jangkitan tempatan.

“Alhamdulillah, tiada kes direkodkan buat kali ke-14 pada hari ini dan ini adalah kali ke-45 tiada kes tempatan (tidak termasuk kes import) sejak 18 Mac. Tiada kes kematian dan kes discaj dilaporkan,” ujarnya.

Malaysia merekodkan tujuh kes baharu Covid-19 hari ini membabitkan tiga kes tempatan dan empat kes import.