Categories
AGENDA NASIONAL

Dasar Kelulusan 100 hari bantu Selangor tarik pelabur pasca Covid-19

SEPANG, 24 OGOS: Pelaksanaan Dasar Kelulusan 100 Hari pada Januari mampu menarik pelabur ke Selangor sekali gus meningkatkan semula perolehan pendapatan negeri.

Dato’ Menteri Besar berkata dasar itu terbukti berkesan apabila hasil kutipan pelaburan mencecah 50 peratus selepas tiga bulan dilancarkan.

“(Selepas penularan Covid-19) Kita dah lakukan langkah awal untuk tarik pelabur dan ia mendapat sambutan serta reaksi positif pelabur.

“Cuma disebabkan Covid-19 pencapaian terganggu dua tiga bulan. Kita akan rancakkan semula pembangunan dengan langkah sedia ada,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas melawat kilang sarung tangan getah, Hartalega NGC Sdn Bhd hari ini.

Melalui dasar itu, beliau berkata pelabur akan mendapat kebenaran merancang antara tiga ke enam bulan berbanding sebelum ini yang terpaksa menunggu sehingga setahun bagi membina kilang.

“Ini mengurangkan tempoh menunggu antara 150 ke 200 hari,” katanya.

Dasar Kelulusan 100 Hari dilaksanakan mengikuti Mekanisme Pembayaran Deposit Premium yang digariskan oleh Pejabat Tanah dan Galian Selangor membabitkan kebenaran merancang, pelan pembangunan dan pelan insfrastruktur.