Categories
AGENDA SUKANKINI

Hafizh Syahrin: Impak kemalangan ngeri masih dirasai

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah masih merasai kesakitan pada kedua-dua belah kakinya selepas terbabit dalam kemalangan mengerikan semasa perlumbaan Grand Prix (GP) Austria di Litar Red Bull Ring pada Ahad.

Bagaimanapun, pelumba pasukan Aspar itu lega apabila pasukan perubatan mengesahkan beliau tidak mengalami kecederaan serius pada bahagian badannya selepas kemalangan itu.

“Saya gembira apabila tiada kecederaan besar di badan saya, tetapi kemalangan itu sangat teruk. Saya masih merasa sakit pada kedua-dua belah kaki terutamanya kaki kiri.

“Pada masa ini, saya menggunakan topang ketiak untuk membantu pergerakan dan saya berdoa agar pulih secepat mungkin, saya juga berharap dapat menyertai perlumbaan hujung minggu ini (GP Styrian),” katanya kepada wartawan Malaysia menerusi aplikasi WhatsApp.

Sementara itu, prinsipal pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team Datuk Razlan Razali bersyukur kerana pelumba berusia 26 tahun selamat dan berharap beliau cepat sembuh.

Dalam kejadian itu, Hafizh Syahrin yang sedang memecut telah merempuh motosikal pendahulu kelas Moto2, Enea Bastianini yang berada di tengah-tengah trek.

Pelumba Itali berkenaan sebelum itu hilang kawalan di selekoh pertama dan terjatuh, kemudian berjaya berlari ke tepi trek bagi menyelamatkan diri dengan meninggalkan jenteranya di trek itu.

Pada perlumbaan berkenaan, Spaniard Jorge Martin daripada Red Bull KTM Ajo, meraih kemenangan sulung dalam Moto2 selepas mencatat masa 19 minit 24.723 saat dalam 13 pusingan.

Pelumba SKY Racing Team VR46, Luca Marini dan pelumba Jerman Marcel Schrotter daripada Liqui Moly Intact GP masing-masing mendapat tempat kedua dan ketiga dengan 2.195 saat dan 4.782 saat di belakang Jorge.

Perlumbaan seterusnya ialah Styrian GP dijadualkan diadakan di litar sama hujung minggu ini.

-BERNAMA