Categories
PBT SELANGOR

Halang lalu lintas, MPS sita kerusi dan meja di parkir

SHAH ALAM, 19 OGOS: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyita kerusi dan meja yang diletakkan di kawasan parkir serta kaki lima sekitar Taman Selayang Jaya, yang menyebabkan kacau ganggu.

Pengarah Jabatan Korporatnya Mohamad Zin Masoad berkata tindakan tidak bertanggungjawab peniaga mengakibatkan kesesakan lalu lintas dan membahayakan nyawa pelanggan.

“Dalam serbuan baru-baru ini, anggota penguat kuasa menyita 32 unit meja dan 97 kerusi plastik di restoran pertama manakala 36 kerusi dan lima meja disita di restoran kedua,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata tindakan mengikut Sekyen 46(1)d Akta Parit dan Bangunan 1974.

Mohamad Zin turut mengingatkan peniaga meletakkan kerusi dan meja dengan jumlah terhad bagi mengelak kacau ganggu selain mendapat permit daripada pihak berkuasa tempatan.

“MPS melakukan pemantauan berkala dan tindakan tegas dikenakan terhadap mana-mana pemilik restoran yang melakukan kesalahan sama,” katanya.