Categories
AGENSI SELANGOR

Isu Jalur Gemilang terbalik, KDEBWM akan bertindak

SHAH ALAM, 24 OGOS: KDEB Waste Management (KDEBWM) akan mengambil tindakan terhadap pemandu dan sub kontraktor berhubung isu pemasangan Jalur Gemilang terbalik pada lori sampah.

Pengarah urusannya berkata pihaknya memandang serius isu yang tular di media sosial itu dan memohon maaf kepada orang ramai.

“Kejadian yang berlaku tidak disengajakan sama sekali dan KDEBWM tidak akan berkompromi dengan sebarang perilaku yang tidak sepatutnya.

“Semua warga kerja dan sub kontraktor sentiasa menjunjung tinggi dan menghormati bendera negara kita,” kata Ramli Mohd Tahir dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu tular rakaman video berdurasi 36 saat memaparkan seorang lelaki membuat teguran kepada seorang kontraktor dan pemandu lori sampah selepas melihat bendera dipasang secara terbalik di bahagian depan lori.

Video dilaporkan berlaku di Bandar Country Homes Rawang memaparkan pemandu lori memberi alasan bendera tersalah pasang oleh pekerja warga Bangladesh.