Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Kakitangan rasuah berdepan tindakan tatatertib, dipecat – MBSA

SHAH ALAM, 11 OGOS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) enggan melindungi kakitangan tidak berintegriti terutama melibatkan rasuah.

Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Haris Kasim berkata mereka yang melakukan kesalahan jenayah bakal dikenakan tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja.

“MBSA memberi jaminan kerjasama penuh akan diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), malah MBSA mengadakan mesyuarat dengan SPRM berhubung perkara ini semalam.

“Saya tidak akan melindungi pegawai dan kakitangan yang tidak bertanggungjawab dan tidak berintegriti, sikap seperti ini perlu dicegah dalam MBSA,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Haris berkata orang ramai diminta menyalurkan aduan berkaitan salah laku kakitangan agensi itu menerusi emel [email protected] atau di
talian 03-55105133.

Hari ini, SPRM menahan tiga anggota penguat kuasa MBSA Cawangan Sungai Buloh kerana disyaki melindungi premis perniagaan tanpa lesen. Penguat kuasa berusia antara 41 hingga 49 tahun itu turut disyaki mengutip dan menerima rasuah secara bulanan.

Terdahulu, tular video yang mendakwa MBSA tidak memantau kegiatan judi dan jualan rokok seludup di kawasan Sungai Buloh.

Video dimuat naik Facebook ‘Hot Burger Malaysia’ turut mendakwa pihak berkuasa menutup mata kerana ada yang menerima habuan daripada tauke kedai mesin judi.