Categories
AGENDA NASIONAL

Kemalangan GP Austria: MB doakan Hafizh Syahrin sembuh

SHAH ALAM, 16 OGOS: Dato’ Menteri Besar mendoakan pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah segera sembuh selepas mengalami kemalangan ketika perlumbaan Grand Prix (GP) Austria hari ini.

“Mendoakan @Hafizh_pescao55 segera sembuh akibat kemalangan yang dihadapi beliau,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter.

Pelumba Petronas Raceline Malaysia terselamat selepas gagal mengelak dan melanggar motosikal pelumba Italtrans Racing Team, Enea Bastianini yang sebelum itu jatuh pada pusingan awal di Litar Red Bull Ring-Spielberg.

Prinsipal Pasukan Petronas Sepang Racing, Datuk Razlan Razali mengesahkan Hafizh mengalami lebam terutama di bahagian pinggul tetapi berada dalam keadaan sedar.

“Hafizh berada dalam keadaan sedar dan hanya lebam. Selainnya OK. (Hafizh) masih berada di pusat perubatan untuk pemerhatian,” katanya memetik laporan Berita Harian.