Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kes harian Covid-19 kembali catat dua angka

SHAH ALAM, 5 OGOS: Sebanyak 21 kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini dengan 15 daripadanya membabitkan warganegara yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Ketua pengarah kesihatan berkata 12 kes dikesan pulang dari Yaman manakala masing-masing satu kes dari Papua New Guinea, Ivory Coast dan United Kingdom menjadikan jumlah keseluruhan 9,023 kes.

“Semua kes import ini di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan diasingkan di pusat kuarantin sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, justeru tidak membawa risiko jangkitan kepada masyarakat setempat,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan tiga daripada enam kes penularan tempatan pula direkodkan di Kedah membabitkan kluster pesakit di bawah siasatan (PUI) Sivagangga.

Dr Noor Hisham berkata bakinya adalah saringan prapembedahan iaitu dua di Sabah membabitkan Hospital Queen Elizabeth dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak serta di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

“Sehingga jam 12 tengah hari tadi terdapat 18 pesakit sembuh menjadikan jumlah yang pulih 8,702 kes dan 196 kes aktif kebolehjangkitan. Dua kes sedang dirawat di unit rawatan rapi manakala jumlah kematian kekal 125 orang,” katanya lagi.