Categories
AGENDA NASIONAL

Kluster Maju dikesan di Kuala Lumpur

SHAH ALAM, 21 OGOS: Kementerian Kesihatan mengenal pasti satu kluster baharu iaitu kluster Maju di sebuah restoran di Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dua kes pertama kluster terbabit iaitu kes ke-9,176 dan 9,177 dilaporkan pada 16 Ogos lalu.

“Mereka adalah pekerja di restoran tersebut yang dikesan hasil saringan rawak ke atas pekerja restoran dan kedai makan yang dijalankan di sekitar bandaraya Kuala Lumpur.

“Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan seorang pelanggan restoran tersebut dikesan positif Covid-19. Beliau mengalami gejala sakit tekak dan sakit kepala sejak 17 Ogos serta dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata 672 individu termasuk 16 pekerja dan 656 pelanggan disaring setakat ini dengan tiga daripadanya positif manakala baki negatif.

Katanya, aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat diteruskan selain mempergiat langkah pencegahan serta kawalan jangkitan seperti proses nyahkuman dan nyahcemar di kedai makan terbabit.