Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 14,000 individu pulang dari 32 negara jalani kuarantin

SHAH ALAM, 20 OGOS: Seramai 14,048 individu pulang dari luar negara menjalani kuarantin wajib 14 hari sejak 24 Julai sehingga semalam, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pusat kuarantin termasuk 67 hotel dan lima institut latihan awam di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu dan Labuan.

“Mereka telah pulang dari 32 negara iaitu, Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, UK, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat,” kata dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan daripada jumlah itu, 43 individu dihantar ke hospital untuk rawatan kerana positif Covid-19 manakala 6,316 individu pulih dan dibenarkan pulang.

Menurutnya, polis turut melakukan 380 pemeriksaan terhadap individu yang menjalankan kuarantin di kediaman masing-masing dan kesemuanya mematuhi tatacara operasi piawai ditetapkan.