Categories
AGENDA NASIONAL

Mazlan Mansor bersara selepas bersama 41 tahun bersama PDRM

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor hari ini mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) setelah menabur bakti selama 41 tahun dalam pasukan itu susulan persaraan wajibnya secara rasmi esok.

Majlis Paluan Berundur di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, petang tadi, yang dihadiri oleh lebih 300 pegawai kanan dan isteri masing-masing, adalah merupakan simbolik sebagai penghormatan terakhir buat beliau yang hadir ditemani isterinya, Datin Farihah Mohd Zamri dan anak perempuan, Batrisyia Zahwaa.

Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Majlis bermula jam 5 petang itu diserikan dengan persembahan Pancaragam Pusat PDRM dengan Mazlan diberi penghormatan memimpin persembahan itu.

Sebelum majlis berakhir, Mazlan bersama isteri dan anak telah diarak menggunakan kenderaan rasmi pasukan sebelum menandatangani buku pelawat di bilik pengawal PULAPOL.

Beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada 9 Mei tahun lalu bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Tan Sri Noor Rashid Ibrahim yang bersara pada 17 Mac tahun lalu.

Sebelum dilantik ke jawatan nombor dua dalam PDRM, beliau memegang jawatan sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sejak 29 Januari 2019.

Mengimbas kembali kerjayanya dalam pasukan polis, Mazlan yang lahir pada 14 Ogos, 1960, di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, menyertai pasukan polis pada 4 Nov 1979 selepas mengikuti latihan Inspektor di PULAPOL di sini.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Aberystwyth, Wales, United Kingdom dan turut memiliki Sijil Amalan Guaman, beliau memegang pelbagai jawatan di peringkat daerah, negeri dan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Antara jawatan yang pernah disandang ialah Timbalan Ketua Polis Kuala Kubu Bahru; Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ipoh; Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Perak; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor; Ketua Polis Melaka; Pesuruhjaya Polis Sarawak dan Ketua Polis Selangor.

Hari ini, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilantik sebagai pemangku Timbalan Ketua Polis Negara.

-BERNAMA