Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MBSA lulus permit niaga 180 individu dalam tempoh dua hari

SHAH ALAM, 16 OGOS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memberikan permit perniagaan sementara kepada 180 peniaga dan penjaja kecil di Seksyen U20, Bandar Baru Sungai Buloh di sini.

Timbalan ketua bahagian unit aduannya berkata permohonan mereka diluluskan pada Program Penyusunan Semula Peniaga dan Penjaja Bandar Baru Sungai Buloh di Dewan Meranti, Jalan 1D yang berlangsung dua hari bermula semalam.

“Kejayaan program ini menunjukkan sebarang isu berbangkit boleh diselesaikan secara baik menerusi perbincangan antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan peniaga.

“Program juga berlangsung secara teratur dan sistematik. MBSA mengucapkan terima kasih kepada peniaga kerana memberi kerjasama baik dalam usaha menyelesaikan isu berniaga tanpa lesen di bahu jalan,” kata Azlan Dolah kepada SelangorKini selepas menghadiri program penyusunan semula golongan berkenaan hari ini.

Timbalan Ketua Bahagian Unit Aduan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Azlan Dollah. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Beliau berkata MBSA mengenakan caj RM90 kepada pemohon lesen perniagaan sementara dan perlu memperbaharuinya setiap tiga bulan.

“MBSA sentiasa berusaha membantu peniaga kecil bagi mengurangkan beban mereka yang terjejas akibat Covid-19, ini komitmen kami sejak dahulu,” katanya.

MBSA menanggung kesan kewangan lebih RM1.09 juta susulan pengecualian bayaran fi lesen pada April dan Mei lalu bagi meringankan beban peniaga akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain itu, MBSA juga menyediakan ruang perniagaan antaranya kiosk, gerai, pasar malam dan medan selera yang memanfaatkan 1,173 peniaga selain 318 permit sementara dikeluarkan untuk menampung permintaan peniaga kecil termasuk pengusaha kenderaan saji.