Categories
AGENDA NASIONAL

MBSA pantau semua lokasi, bukan hanya Sungai Buloh

SHAH ALAM, 14 OGOS: Serbuan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tidak hanya tertumpu kepada premis yang melanggar peraturan di Bandar Baru Sungai Buloh, sebaliknya ia dijalankan di pelbagai lokasi.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata majlis itu tidak bertolak ansur terhadap mana-mana peniaga tanpa lesen atau mengubah suai premis tanpa kebenaran.

“Tindakan penguatkuasaan akan dikenakan bukan sahaja kepada warga asing malah penduduk tempatan yang melakukan kesalahan,” kata Shahrin Ahmad kepada SelangorKini hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan sedemikian juga dijalankan secara berterusan, terbaru hari ini di sekitar Kampung Bukit Naga, Seksyen 32 di sini.

Antara dirampas ialah tong gas, barangan runcit, meja dan kerusi serta mesin memproses ayam.

Pada 9 Mei, sembilan premis di Kampung Baru Hicom di sini termasuk lima kendalian warga asing diarah tutup dan 12 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Dua premis milik warga asing pula ditutup, manakala sembilan lagi dikompaun dalam pemeriksaan di Seksyen U4 pada 3 Jun.

Pada 8 Julai, dua premis milik rakyat tempatan di Seksyen 7 di sini yang dikendalikan warga asing turut disita.

Dua premis milik warga tempatan di Paya Jaras, Sungai Buloh yang mengupah pekerja asing disita pada 21 Julai.