Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSA tidak roboh gerai, hanya buang struktur tambahan

SHAH ALAM, 14 OGOS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menegaskan tidak meroboh gerai di Bandar Baru Sungai Buloh, sebaliknya membuang struktur binaan tambahan.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu juga mendapati seramai 16 pemilik gerai sudah menanggalkan struktur binaan premis mereka sebagai mematuhi arahan MBSA.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya Shahrin Ahmad berkata tiga unit kabin, lima unit sengkuap depan dan 16 unit sengkuap lorong belakang diroboh dalam operasi kelmarin.

“Dalam operasi ini, MBSA juga meroboh struktur binaan atau tambahan pindaan di premis yang disyaki perjudian haram serta menyita barangan. Sebanyak tujuh premis judi disita,” katanya dalam kenyataan semalam.

Shahrin berkata Seksyen 46 (1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) memberi kuasa kepada PBT untuk membuang halangan di tempat awam tanpa notis.

Operasi itu dijalankan dengan kerjasama polis, Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen, Tenaga Nasional Berhad, Air Selangor dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.