Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

NGO disaran kenal pasti lokasi jadi Pusat Peduli Kanak-kanak

SUBANG JAYA, 24 OGOS: Badan bukan kerajaan (NGO) disaran mengenal pasti lebih banyak lokasi sesuai di negeri ini untuk dijadikan Pusat Peduli Kanak-kanak (PPKK).

EXCO Kebajikan Dr Siti Mariah Mahmud berkata pemilihan lokasi harus mengambil kira faktor kepadatan golongan itu di sesebuah kawasan selain mengikut keperluan komuniti setempat.

“Walaupun nampak mudah tetapi sebenarnya agak sukar untuk cari tempat, jadi sekiranya jawatankuasa NGO berminat (untuk wujudkan PPKK) dan sudah ada tempat maka mereka boleh sediakan kertas kerja lengkap kepada kita.

“InsyaAllah, kita cuba bantu bergantung pada kedudukan peruntukan Kerajaan Negeri dan (peruntukan) mungkin tidak banyak tetapi kita mahu hargai usaha murni mereka,” katanya selepas Majlis Pelancaran PPKK di Pangsapuri Angsana, USJ 1 semalam.

Setakat ini, dua PPKK diwujud di Selangor iaitu Pangsapuri Angsana, Subang Jaya dan Pangsapuri Bunga Raya, Hulu Selangor dengan masing-masing diperuntuk RM200,000 untuk menggerak aktiviti kepada kanak-kanak.

Dr Siti Mariah menambah penubuhan PPKK mampu mengelak kes pengabaian, kerosakan akhlak serta masalah sosial melalui penyediaan pelbagai program untuk mereka.

“Kanak-kanak yang datang ke sini akan dipantau oleh jawatankuasa NGO, sekurang-kurangnya mereka ada tempat untuk melakukan aktiviti berfaedah selepas pulang dari sekolah seperti belajar dan bermain.”