Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pelajar MITS Kuala Langat jalani pembelajaran dalam talian

SHAH ALAM, 5 OGOS: Pelajar perempuan Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi Istana Bandar di Banting meneruskan pembelajaran dalam talian buat sementara waktu.

Pengetuanya Abd Halim Saljadi berkata pendidikan secara maya itu dijangka berjalan dua bulan susulan masa diperlukan bagi membaik pulih bangunan asrama yang terbakar semalam.

“Bermula PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kita memang mengajar dalam talian. Komitmen pelajar juga memuaskan dan semua guru berpuas hati jadi tidak ada masalah untuk teruskan cara ini.

“Seramai 36 pelajar tingkatan empat dan lima, mereka mungkin akan ke kelas seperti biasa bermula minggu hadapan memandangkan perlu menjalani peperiksaan besar. Kita tempatkan mereka di kuarters guru,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Abd Halim berkata pihaknya bersyukur dan bangga dengan tindakan pantas semua pelajar menyelamatkan diri dalam tempoh lima minit.

“Bila penggera kebakaran berbunyi semua pelajar terus keluar bilik tanpa mengambil barang peribadi. Mereka berlari ke dataran perhimpunan dan semuanya selamat.

“Bantuan diberikan Dato’ Menteri Besar semalam akan digunakan sepenuhnya untuk membaik pulih bangunan manakala sumbangan orang ramai untuk membeli barangan pelajar yang terbakar,” katanya.

Pagi semalam, seramai 131 pelajar maahad berkenaan selamat selepas bangunan asrama tingkat empat didiami mereka terbakar ketika mereka sedang bersiap menunaikan solat Subuh.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang melawat lokasi kejadian turut mengumumkan bantuan RM300,000 bagi proses membaik pulih bangunan berkenaan.