Categories
AGENDA NASIONAL PBT SELANGOR

Peraturan benarkan roboh struktur tambahan – MBSA

SHAH ALAM, 15 OGOS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berhak merobohkan struktur dibina peniaga tanpa mendapat kelulusannya.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dalam kenyataan memaklumkan kabin dibina pengusaha gerai di Bandar Baru Sungai Buloh dikategorikan salah guna bangunan.

“Pengusaha tersebut membina tiga kabin secara tetap dan membuka perniagaan percetakan di kawasan dizonkan sebagai kawasan perindustrian ringan tanpa kelulusan,” jelasnya dalam sesi soal jawab bersama MBSA.

Mengulas lanjut, menurut MBSA kes premis dicabut sengkuap masih dibenarkan berniaga dan pihaknya hanya meruntuhkan struktur itu kerana ia dibina tanpa keizinan.

“MBSA tidak menutup perniagaan 16 pengusaha berkaitan malah kita akan mengadakan perjumpaan khusus untuk bantu mereka memohon dan memperolehi kelulusan segera bagi penambahan yang menepati syarat PBT,” katanya.

Pada masa sama, MBSA menjelaskan pihaknya tidak pernah bersikap pilih bulu berhubung kenyataan segelintir pihak hanya premis perniagaan Melayu dikacau.

“Kita sentiasa menjalankan tugas dengan berhemah tanpa pilih bulu atau diskriminasi. Selain kabin restoran tersebut, satu lagi dimiliki Persatuan Peniaga Cina dan sebuah kabin milik kuil Hindu di kawasan awam tanpa kebenaran atau kelulusan MBSA turut diserbu,” katanya.