Categories
AGENSI SELANGOR

Premis judi Sungai Buloh: MBSA tidak kompromi staf salah guna kuasa

SHAH ALAM, 9 OGOS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tidak berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk kakitangannya jika berlaku salah guna kuasa berhubung dakwaan premis judi tidak diambil tindakan di Sungai Buloh.

Timbalan Datuk Bandar Shah Alam berkata tindakan tegas akan diambil terhadap kakitangan agensi itu sekiranya didapati melakukan aktiviti menyalahi peraturan dan undang-undang.

“Saya amat berharap supaya orang ramai menyalurkan aduan secara terus kepada MBSA sekiranya ada maklumat berkaitan dengan salah laku kakitangan kami.

“Mereka boleh melaporkannya secara emel kepada [email protected] atau menelefon di talian 03-55105133 sambungan 1671,” kata Mohd Rashidi Ruslan.

Mengulas dakwaan yang tular mengenai premis judi terbabit, Mohd Rashidi berkata pihaknya akan bekerjasama dan membantu polis menjalankan siasatan.

“Tindakan selanjutnya akan diambil sekiranya siasatan mendapati dakwaan tersebut benar,” katanya lagi.

Terdahulu, tular video yang mendakwa MBSA tidak memantau kegiatan judi dan jualan rokok seludup di kawasan Sungai Buloh.

Video dimuat naik Facebook ‘Hot Burger Malaysia’ turut mendakwa pihak berkuasa menutup mata kerana ada yang menerima habuan daripada tauke kedai mesin judi.