Categories
AGENSI SELANGOR

Rancangan Kawasan Khas Bandar Malawati 2025 bangun potensi pelancongan

KUALA SELANGOR, 4 OGOS: Potensi pelancongan berasaskan warisan, sejarah dan alam semula jadi dibangunkan menerusi Rancangan Kawasan Khas (RKK) Bandar Malawati Kuala Selangor 2025.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembangunan meliputi 11 projek berimpak tinggi, 24 projek sokongan dan 17 projek jangka pendek (quick win).

“Kesemua projek berimpak besar serta memberi kesan jangka panjang kepada pertumbuhan ekonomi Kuala Selangor. RKK juga mewujudkan persekitaran perbandaran yang kondusif bagi ekonomi hijau, pemeliharaan alam sekitar, warisan dan sejarah serta pelancongan berasaskan komuniti,” katanya.

Beliau berucap pada Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf RKK Bandar Malawati Kuala Selangor 2025 di Dataran Malawati di sini hari ini.

Hadir sama, EXCO negeri Ng Sze Han dan Rodziah Ismail, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Rahilah Rahmat dan Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati Juwairiyah Zulkifli.

Maklumat lanjut berkaitan projek tersebut boleh didapati menerusi laman sesawang MDKS atau muat naik aplikasi RKKBMKS di Google Play.