Categories
AGENDA NASIONAL

Status terkini Tabung Harapan antara tumpuan Parlimen

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Isu status terkini Tabung Harapan yang diwujudkan oleh kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini, antara perkara yang bakal dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman rasmi Parlimen, isu itu terkandung pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang diajukan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) kepada Menteri Kewangan.

Ahmad Fadhli ingin tahu ke manakah wang itu disalurkan.

Dalam sesi sama, Datuk Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) akan bertanya kepada Menteri Pengajian Tinggi mengenai status yuran pengajian semester Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bagi penuntut IPT awam dan swasta yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19.

Azizah turut bertanyakan adakah kementerian mempunyai inisiatif berkaitan sistem pembelajaran dalam talian bagi pelajar IPT yang tinggal di luar bandar dan memerlukan capaian Internet.

Selain itu, Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) bertanyakan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia mengenai langkah terkini kementerian dalam membasmi penyebaran maklumat tidak sahih dan palsu yang semakin meningkat sehingga boleh mengancam keselamatan negara dan perpaduan rakyat.

Usai sesi itu, Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020 akan dikemukakan Kementerian Dalam Negeri untuk bacaan kali pertama.

Turut menarik perhatian ialah Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan kepada pemandu mabuk, yang akan dibentang untuk bacaan kali kedua dan dibahaskan oleh Ahli Parlimen, sebelum diputuskan sama ada diluluskan atau tidak.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.

– BERNAMA