Categories
AGENSI SELANGOR

STFC: Tiada penularan tempatan minggu ini, hanya empat kes import

SHAH ALAM, 9 OGOS: Tiada kes penularan tempatan Covid-19 dilaporkan di Selangor sepanjang minggu ini sejak Isnin lalu.

Bilik Gerakan Covid-19 memaklumkan hanya empat kes import membabitkan dua dari Jepun dan satu kes masing-masing jangkitan Turki dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Tiga kes juga disahkan pulih dan dibenarkan keluar hospital dalam tempoh sama.

“Hari ini kali ke-38 Selangor tidak mencatat kes penularan tempatan sejak 18 Mac lalu,” katanya melalui laporan harian.

Sementara itu, Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata satu kes import dari Jepun membabitkan warga asing dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 2,134 kes.

“Esok mula bekerja, jangan lupa pakai pelitup muka dan cecair pembasmi kuman. Daftarkan pejabat anda menggunakan SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) untuk merekod individu keluar masuk premis. Lindungi tempat kerja, lindungi nyawa anda,” katanya di Facebook.