Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan zahir tahniah LZS telus, berkesan agih zakat

SHAH ALAM, 11 OGOS: Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj menzahirkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) kerana menguruskan hal ehwal kutipan serta agihan zakat di negeri ini dengan baik.

Sultan Selangor sukacita operasi agensi itu yang berperanan secara telus dengan agihan zakat dibuat secara efisien kepada golongan memerlukan seperti asnaf, fakir miskin dan mualaf setiap tahun.

“Ini termasuk keprihatinan LZS menyalurkan bantuan khas zakat Covid-19 baru-baru ini,” titah baginda menerusi kenyataan menerusi Facebook Selangor Royal Office.

Baginda berharap LZS terus meningkatkan usaha dalam menguruskan perkara berkaitan dengan lebih baik di samping memaklumkan kepada masyarakat ke mana wang zakat diagihkan.

Sehingga kini, 57,000 keluarga asnaf dan fakir miskin di Selangor menerima bantuan zakat manakala kutipan zakat tahun lalu mencecah RM855 juta dengan agihan mencapai RM868 juta.

LZS mengutip RM341 juta bagi Januari hingga Mei lalu dengan RM337 juta daripadanya diagihkan kepada semua golongan asnaf memerlukan.