Categories
AGENSI SELANGOR

Tourism Selangor sedia bantu promosi 29 kelab golf, rancak pelancongan domestik

SHAH ALAM, 14 OGOS: Tourism Selangor sedia membantu mempromosikan 29 kelab golf berdaftar di negeri ini sebagai usaha merancakkan kempen pelancongan domestik, kata pengurus besarnya.

Azrul Shah Mohamad berkata ini kerana sektor pelancongan sukan golf memiliki potensi besar menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

“Melalui penglibatan ramai pihak ketika kejohanan berlangsung, ia pasti akan menguntungkan industri pelancongan di Selangor dan menjadi sebab sektor pelancongan sukan golf wajar dilakukan.

“Jadi, sekiranya mereka (kelab golf) mempunyai pakej istimewa untuk dipromosikan, kita sedia bantu dengan membuat hebahan kepada umum sama ada di media sosial mahupun sidang media,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Kejohanan Selangor Golf Classic 2020 di Permai Ballroom, Kota Permai Golf and Country Club di sini semalam.

Dalam pada itu, Azrul mengakui bangga terhadap keupayaan semua kelab golf berkenaan menyediakan kemudahan sukan bertaraf dunia malah direka khas dengan pelbagai tahap cabaran yang sememangnya paling dinantikan barisan pemain profesional.

“Kebanyakan kelab golf di negeri ini juga sering memenangi anugerah, misalnya di sini (Kota Permai Golf and Country Club) mengungguli Asian Golf Awards 2020 termasuk Asia Pacific Order of Zenith dan naib juara kelab golf terbaik di Asia Pasifik.

“Kelab golf ini juga pernah memenangi beberapa kategori lain dan sekali gus membuktikan Selangor sebagai hab sukan golf di Malaysia,” katanya lagi.