Categories
AGENDA NASIONAL

65 sertai kayuhan Hari Malaysia MPKK Kampung Baru Batu Caves

GOMBAK, 16 SEPT: Seramai 65 penggemar sukan berbasikal menyertai program kayuhan anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Baru Batu Caves sempena sambutan Hari Malaysia ke-57 hari ini.

Program julung kali dengan kerjasama Jawatankuasa Penduduk Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Zon 8 serta Team KKG & Cabin 8 membabitkan kayuhan sejauh 10 kilometer (km) melalui Kampung Melayu Wira Damai dan Kampung Sungai Kertas.

Dato’ Menteri Besar yang menyempurnakan pelepasan peserta jam 9.30 pagi berkata acara itu menggantikan sukan rakyat yang lazimnya diadakan setiap tahun.

“Walaupun disambut secara kecil-kecilan tetapi ia memberi peluang untuk meraikan dan menghayati penubuhan Malaysia lebih 56 tahun lalu selepas tanah air mencapai kemerdekaan pada 1957.

“Saya percaya kayuhan ini akan mengingatkan kepada semua bahawa begitu sukar untuk membangunkan negara dan perjalanan kita selama ini lebih-lebih lagi dengan ancaman Covid-19,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika ditemui.

Sementara itu Pengerusi MPKK Adnan Mohd Yatim berkata semua peserta memberi kerjasama dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Walaupun diadakan dalam skala kecil dan sedikit berbeza namun kita bangga kerana masyarakat menyambut baik program ini yang mampu menggalakkan mereka bergerak aktif dalam sukan,” katanya.