Categories
AGENDA NASIONAL

AMK: Poster Anwar angkat sumpah PM ke-9 palsu

SHAH ALAM, 24 SEPT: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menegaskan poster tular upacara angkat sumpah Presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kesembilan esok di Istana Negara adalah palsu.

Setiausahanya, Ahmad Syukri Razab berkata logo tertera pada poster tersebut juga bukan lambang rasmi AMK selain menyifatkan tindakan pihak tidak bertanggungjawab tersebut dilakukan bagi menganggu proses transisi Kerajaan Persekutuan.

“AMK menjunjung penuh kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memutuskan isu pemilihan perdana menteri selepas Anwar mengumumkan berjaya memperoleh majoriti selesa membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Anwar mengumumkan mendapat sokongan ahli parlimen untuk membentuk kerajaan baharu dengan majoriti yang kukuh dan meyakinkan.

Beliau turut menjelaskan mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong tetapi ditangguhkan kerana baginda menerima rawatan di Institut Jantung Negara.