Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hampir 95 peratus kawasan pulih bekalan air, 65 dalam proses

SHAH ALAM, 8 SEPT: Sebanyak 1,156 daripada 1,292 kawasan pulih sepenuhnya daripada gangguan bekalan air setakat jam 12.30 tengah hari apabila Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang henti tugas pada 3 September kerana pencemaran sumber air.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan hari ini berkata baki 65 kawasan masih lagi dalam proses pemulihan dengan 94.97 peratus kawasan sudah pulih.

Kataya sebanyak lapan kawasan masih belum pulih sepenuhnya walaupun tersenarai di dalam kawasan kumpulan 1 yang sepatut pulih sepenuhnya pada 12 tengah malam 7 September.

“Manakala, 54 kawasan yang berada dalam Kumpulan 2 juga masih belum mendapat bekalan air yang sepatutnya pada 12 tengah malam tadi.

“Air Selangor sedang mengambil tindakan untuk menstabilkan sistem agihan bagi memulihkan kawasan,” kata ketua komunikasi korporatnya.

Elina Baseri berkata pengguna dinasihatkan supaya tidak menyimpan dan menjimatkan penggunaan air bagi melancarkan proses pemulihan di kawasan masih terjejas.

Sehingga ini wilayah Petaling mencatatkan pemulihan hingga 97.37 peratus, Klang/Shah Alam (80.79 peratus), Gombak (98.18 peratus), Kuala Lumpur (92.71 peratus), Hulu Selangor (100 peratus), Kuala Langat (100 peratus) dan Kuala Selangor (100 peratus).

“Pengguna disarankan mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air melalui saluran interaksi Air Selangor dan tidak menyebarkan berita tidak sahih berhubung gangguan ini bagi mengelakkan kekeliruan kepada pengguna lain,” katanya.

Pengguna boleh merujuk aplikasi Air Selangor, semua saluran rasmi sosial media Air Selangor di Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang kami di www.airselangor.com untuk maklumat bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.