Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

IBDE terjemah buku klasik kisah darurat, diari mangsa rejim Nazi

OLEH KHAIRUL AZRAN HUSSIN dan NORRASYIDAH ARSHAD

SHAH ALAM, 1 SEPT: Karya klasik tentang zaman darurat di tanah air khususnya penentangan komunis antara buku yang diterjemah Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) baru-baru ini.

Buku War of the Running Dogs: How Malaya Defeated the Communist Guerrillas karangan Noel Barber diberi judul Perang Anjing Suruhan: Darurat dan kekalahan komunis di Malaya 1948-1960.

Ketua pengarang IBDE, Al-Mustaqeem M Radhi menyifatkan karya berkenaan mampu membangkitkan semangat patriotisme sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63 tahun ini.

“Kita mahu masyarakat yang membacanya dapat menyelami keperitan zaman darurat dahulu,” katanya kepada SelangorKini. Setakat ini, sebanyak 1,000 nashkah dicetak dan dijual pada harga RM45.

Beliau berkata olahan penulis bertenaga dan menarik, antaranya kisah peladang dan isterinya yang terpaksa mengangkat senjata dan berkawal saban malam untuk menepis serangan komunis.

“Penulis juga menceritakan tentang kucar-kacir pentadbiran British dan juga komunis sendiri, tentang anak-anak dibunuh di depan ibu bapa, tentang mata-mata gelap yang licik dan banyak lagi,” katanya.

Al-Mustaqeem M Radhi

Al-Mustaqeem berkata IBDE juga menerbitkan karya klasik dunia yang mengisahkan kekejaman pemerintahan Nazi melalui penulisan diari Anne Frank, seorang remaja berusia 13 tahun ketika itu.

“Dalam usia muda, Anne dan keluarganya melarikan diri ke Amsterdam pada 1942. Keluarga Yahudi itu hidup berhimpitan dalam satu ruang rahsia sebuah bangunan usang bersama satu keluarga Yahudi lain.

Beliau berkata gadis itu merakam gambaran kehidupannya dalam persembunyian sebelum kedudukan mereka diketahui polis rahsia Jerman, Gestapo selepas dua tahun.

“Diari ini ditemui dalam sebuah loteng yang dihuni oleh Anne selama beberapa tahun sebelum kematiannya,” kata Al-Mustaqeem.

Beliau menyifatkan buku Diari Seorang Gadis membawa peringatan ampuh tentang kepedihan zaman perang serta suatu penyaksian terhadap keteguhan semangat manusia,” katanya.

Sejak empat tahun lalu, IBDE melalui program Pencerahan Selangor gigih menterjemah buku adikarya dunia, sebahagian karya itu berusia ribuan tahun, meliputi biografi tokoh, agama, falsafah dan sejarah.

Tempahan boleh dibuat melalui Facebook Inisiatif Buku Darul Ehsan atau layari laman sesawang buku-ibde.com.