Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Indeks Harga Pengguna turun 1.4 peratus pada Ogos 2020 – Perangkaan

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia bagi Ogos 2020 turun 1.4 peratus kepada 120.1 daripada 121.8 pada bulan yang sama tahun lepas, menurut Jabatan Perangkaan hari ini.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata ia dipengaruhi oleh penurunan indeks pengangkutan (-9.9 peratus); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (-3.0 peratus); pakaian dan kasut (-0.6 peratus) serta hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (-0.1 peratus) yang menyumbang 45.7 peratus daripada keseluruhan wajaran.

Beliau berkata bagaimanapun indeks makanan dan minuman bukan alkohol meningkat 1.3 peratus kepada 135.2 daripada 133.5 pada bulan yang sama 2019.

“Kumpulan ini menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP. Selain itu, pelbagai barangan dan perkhidmatan turut menunjukkan peningkatan 3.1 peratus diikuti komunikasi (1.6 peratus), kesihatan (1.1 peratus) dan pendidikan (1.1 peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata IHP tanpa bahan api kekal berada pada kadar positif iaitu 0.2 peratus pada Ogos 2020 berbanding Julai 2020.

IHP tanpa bahan api adalah meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali petrol tanpa plumbum RON95, petrol tanpa plumbum RON97 dan diesel, katanya.

Beliau berkata purata harga petrol RON95 menunjukkan penurunan pada Ogos 2020 iaitu RM1.68 per liter daripada RM2.08 pada Ogos 2019.

Di samping itu, purata harga petrol RON97 susut kepada RM1.98 per liter daripada RM2.51 dan purata harga diesel turun kepada RM1.81 per liter daripada RM2.18 pada bulan yang sama tahun lepas, katanya.

Mohd Uzir berkata indeks teras meningkat 1.1 peratus pada Ogos 2020 daripada bulan yang sama 2019.

Beliau berkata antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada kenaikan ini adalah pelbagai barangan dan perkhidmatan (3.1 peratus); komunikasi (1.6 peratus); kesihatan (1.1 peratus) dan pendidikan (1.1 peratus).

“Indeks teras meliputi barangan tidak termasuk item makanan segar dengan harga paling tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal,” katanya.

Beliau berkata walaupun perubahan IHP tahunan menurun, namun perubahan IHP bulanan meningkat 0.2 peratus daripada Julai 2020.

Peningkatan ini disumbangkan oleh pelbagai barangan dan perkhidmatan (0.7 peratus); pengangkutan (0.4 peratus); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.2 peratus); makanan dan minuman bukan alkohol (0.1 peratus); minuman alkohol dan tembakau (0.1 peratus); kesihatan (0.1 peratus) serta restoran dan hotel (0.1 peratus), katanya.

Mohd Uzir berkata sementara itu, IHP bagi tempoh Januari hingga Ogos 2020 menurun 1.0 peratus daripada angka yang dicatatkan tempoh yang sama 2019.

Beliau berkata penurunan ini dipengaruhi oleh pengangkutan (-10.0 peratus); pakaian dan kasut (-1.0 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (-1.0 peratus).

“Indeks bagi semua negeri menunjukkan penurunan di antara -0.7 dengan -2.2 peratus bagi Ogos 2020 berbanding Ogos 2019. Penurunan tertinggi dicatatkan oleh Melaka 3 (-2.2 peratus) serta Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan (-2.2 peratus). Ini diikuti oleh Kedah dan Perlis (-2.1 peratus) serta Sarawak (-2.1 peratus,” katanya.

Beliau berkata bagaimanapun semua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol.

“Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.3 peratus) diikuti oleh Johor (1.7 peratus), Terengganu (1.5 peratus), Perak (1.4 peratus), Negeri Sembilan (1.4 peratus) dan Pahang (1.4 peratus) yang turut melebihi paras nasional (1.3 peratus),” katanya.

-BERNAMA