Categories
AGENDA GLOBAL

Korban Covid-19 global lepasi 900,000, jumlah kes 27.6 juta

NEW YORK, 10 SEPT: Korban Covid-19 global pada Rabu sudah melepasi 900,000 orang, lapor agensi berita Xinhua.

Jumlah korban kini mencecah 900,079 manakala terdapat lebih 27.6 juta kes di seluruh dunia, menurut data Johns Hopkins University.

Amerika Syarikat kekal negara paling teruk diancam dengan 6,356,310 kes dan 190,649 kematian, menyumbang kepada lebih 20 peratus daripada jumlah keseluruhan kematian global.

Brazil mencatatkan jumlah kematian kedua tertinggi di dunia, sebanyak 127,464 diikuti India dengan 73,890 korban.

India baru-baru ini mengatasi Brazil sebagai negara yang merekodkan jumlah kes kedua tertinggi di dunia, melebihi 4.3 juta.

Negara yang mencatatkan lebih 30,000 kematian termasuk Mexico, Britain, Itali, Perancis dan Peru.

-BERNAMA