Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia sedia hadapi lonjakan Covid-19, perlu tambah baik – wakil WHO

CYBERJAYA, 22 SEPT: Malaysia membuat persediaan yang mencukupi bagi menangani sebarang peningkatan ketara dalam kes Covid-19, namun ia masih perlu menangani beberapa kelemahan, kata wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Antara kelemahan yang disentuh oleh wakil WHO di Malaysia, Brunei dan Singapura Dr Lo Ying-Ru Jacqueline itu termasuk dari segi usaha menghalang penularan jangkitan di pusat-pusat tahanan, dan mengukuhkan sistem pengawasan dengan meningkatkan kesedaran dalam kalangan sektor penjagaan kesihatan swasta.

“Saya rasa persediaan Malaysia sudah cukup baik untuk sebarang lonjakan dalam penularan berikutnya, namun mungkin ada baiknya jika tumpuan dapat diberikan kepada kawasan tertutup, terkurung, penjara, (dan pastikan) ..langkah disyorkan kerajaan juga benar-benar dilaksanakan.

“Saya faham persediaan sedang dilaksanakan berterusan dan langkah diambil, namun akhirnya ia perlu dilihat kepada pelaksanaannya, ia perlu dipantau rapi,” katanya kepada Bernama dalam temu ramah eksklusif di pejabatnya di sini.

Jumlah jangkitan tempatan Covid-19 dalam negara kembali kepada dua – dan tiga digit, selepas jumlahnya dilaporkan agak mendatar di angka yang rendah pada Julai dan Ogos dengan kebanyakan kes melibatkan jangkitan dari luar negara.

Sehingga kini 582 orang dalam kalangan penghuni pusat tahanan, penduduk, petugas, anggota keluarga dan kontak rapat di Tawau serta Lahad Datu, dan seorang di Sandakan, semuanya di Sabah, diuji positif bagi jangkitan koronavirus baharu, semuanya dalam kluster pusat tahanan.

Dr Lo berkata sistem pengawasan perlu diperbaiki dengan mendidik sektor penjagaan kesihatan swasta berhubung pelbagai gejala Covid-19.

“Kita tahu bahawa dalam Covid-19, kebanyakan kes adalah tanpa simptom jelas (asymptomatic) Mereka boleh mengalami gejala yang sangat ringan atau bahkan tidak ada gejala langsung. Oleh itu, sangat sukar dan rumit (untuk menentukan) ‘bila kita hendak membuat ujian? Adalah penting supaya latihan berterusan diperluas ke kemudahan sektor swasta, kerana Covid-19 boleh muncul di mana saja,” tambahnya.

Di Malaysia ada beberapa kes yang muncul akibat kegagalan doktor swasta dan pengamal perubatan menjalankan ujian dan memaklumkan pihak berkuasa kesihatan mengenai kemungkinan kes Covid-19.

Pengamal perubatan swasta perlu, walaupun tidak diwajibkan, untuk menguji dan melaporkan pesakit dengan gejala penyakit pernafasan akut yang teruk (SARI) dan penyakit seperti selesema (ILI) sebagai sebahagian daripada sistem pengawasan Covid-19.

Dr Lo berkata bagi mengelak perkara ini, pengamal perubatan perlu mengambil peluang daripada kemudahan menjalankan ujian yang mudah diperloeh di Malaysia, dan membuat lebih banyak ujian.

Malaysia telah membaiki keupayaan ujian harian daripada 11,500 pada bulan Mac kepada kira-kira 40,000 ketika ini.

Beliau seterusnya memuji Malaysia yang mengambil inisiatif tidak hanya menjalankan ujian keatas individu dengan gejala kesihatan, sebaliknya memperluaskan ujian ke komuniti lain.

Katanya peningkatan ujian adalah penting bagi mengesan kes-kes terpencil, seperti empat kes yang dilaporkan di Kedah, Ahad.

“Ujian dan pengesanan kes adalah strategi penting dalam menghalang penularan jangkitan Covid-19, ia adalah strategi yang amat, amat penting,” katanya.

Dr Lo turut mengingatkan betapa pentingnya untuk bersiap siaga bagi terus mengamalkan langkah pencegahan Covid-19 dalam tempoh yang lama, sehingga vaksin yang selamat dan efektif diperoleh, yang dijangka oleh WHO pada hujung 2021.

“Vaksin itu sendiri bukanlah penyelesaiannya. Ia perlu boleh dicapai dalam kuantiti yang diperlukan kita,”katanya.

Malaysia menyertai kemudahan COVAX, inisiatif oleh pakatan vaksin global (Gavi); Gabungan Inovasi Kesiapsiagaan Wabak (CEPI); dan WHO pada 19 Sept lepas.

-BERNAMA