Categories
AGENSI SELANGOR

MBSA bentang Belanjawan 2021 bernilai RM498.82 juta

SHAH ALAM, 29 SEPT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membentangkan anggaran Belanjawan 2021 berjumlah RM498.82 juta dengan jangkaan defisit RM28.06 juta.

Datuk Bandar Shah Alam berkata RM396.14 juta diguna bagi perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan RM130.74 juta manakala defisit ditampung menggunakan rizab MBSA.

“Peruntukan terbesar perbelanjaan mengurus adalah untuk perkhidmatan dan bekalan melibatkan sejumlah RM307 juta atau 77.5 peratus daripada jumlah keseluruhan.

“Perbelanjaan pembangunan menunjukkan peningkatan sebanyak RM9.7 juta berbanding tahun lalu dengan 56 peratus daripada jumlah peruntukan keseluruhan digunakan bagi projek membina dan menaik taraf bangunan,” katanya.

Dato’ Haris Kasim berkata demikian pada sidang media selepas membentangkan Belanjawan MBSA 2021 dengan tema merintis Norma Baharu Untuk Shah Alam Sejahtera di Wisma MBSA hari ini.

Beliau berkata anggaran hasil pada 2021 dijangka meningkat sebanyak 3.8 peratus iaitu daripada RM480.57 juta pada tahun ini kepada RM498.82 juta.

“Cukai taksiran dijangka menyumbang RM323.18 juta atau 64.8 peratus jumlah keseluruhan, hasil bukan cukai (RM166.14 juta atau 33.3 peratus) dan terimaan bukan hasil (RM9.5 juta atau 1.9 peratus),” katanya.