Categories
AGENDA EXCO NASIONAL SELANGOR

PBT digesa mudahkan urusan peniaga dapat lesen

SHAH ALAM, 7 SEPT: Pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran memudahkan urusan permohonan lesen perniagaan di negeri ini terutama membabitkan penjaja kecil.

EXCO pembangunan usahawan berkata Kerajaan Negeri akan menjalankan semakan semula undang-undang kecil berhubung perkara itu bagi memastikan ia lebih cepat dan mesra.

“Memang ada usahawan susah nak dapat lesen, jadi kita akan mengemas kininya. Sebelum ini Kerajaan Negeri sudahpun menguatkuasakan warga asing tidak dibenarkan berniaga, tetapi adakah itu mencukupi?

“Oleh sebab itu, semakan semula akan dibuat untuk mudahkan rakyat berniaga,” kata Rodziah Ismail ketika sesi rumusan Dialog Belanjawan Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini.

Pada masa sama, Rodziah turut meminta PBT menjalin hubungan baik dengan syarikat komunikasi di negara ini terutama melibatkan urusan pemasangan menara telekomunikasi.

“Sekiranya ia terjalin, syarikat ini boleh memasang capaian jalur lebar (Wi-Fi) secara percuma di tempat mempunyai kepadatan penduduk tinggi dan bakal membantu usahawan digital menjalankan perniagaan dalam talian dengan lebih baik,” katanya.