Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Penduduk Pelabuhan Klang diminta salur maklumat ban pecah, rosak

SHAH ALAM, 15 SEPT: Orang awam mempunyai maklumat berhubung ban rosak atau pecah sekitar Pelabuhan Klang diminta menghubungi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Ahli Dewan Negeri kawasan berkenaan, Azmizam Zaman Huri berkata tindakan itu membolehkan ban dibaiki segera sebelum air pasang besar dijangka bermula esok.

“Langkah ini mengelakkan air laut melimpah masuk ke kawasan kampung hingga menyebabkan banjir berlaku.

“Kita bersama JPS, Majlis Perbandaran Klang, Pejabat Daerah Klang dan agensi lain akan bersiap sedia bagi menghadapi fenomena air pasang besar ini,” katanya menerusi Facebook.

Pada Ahad, beliau bersama ahli Jeti Nelayan Perajurit membuat pantauan ban sekitar Kampung Telok Gong.

Pada 3 September lalu, Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBNS) mengarahkan persediaan bencana tahap tinggi dilaksanakan di Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam. Dijangka ketinggian paras air laut mencecah 5.8 meter.