Categories
AGENDA NASIONAL

Rancak semula sektor perumahan pascawabak Covid-19

SHAH ALAM 15 SEPT: Sektor perumahan di negeri ini kembali rancak selepas terhenti susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal penularan Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata projek merangkumi pembinaan 30,000 unit Rumah Idaman dalam tempoh tiga hingga lima tahun serta kediaman lain yang menyumbang RM12 bilion kepada nilai ekonomi.

“Walaupun sektor perumahan hanya meliputi antara 10 hingga 15 peratus daripada kek ekonomi Selangor tetapi sumbangannya amat penting.

“Kelembapan sektor perumahan akan menjejaskan sistem sokongan meliputi sektor bahan mentah seperti simen dan batu atau perbekalan merangkumi aksesori rumah seperti kipas, penghawa dingin, perabot dan pelbagai komponen penting lain,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berucap pada Majlis Penjenamaan Semula Projek Perumahan Idaman Taman Air Manis, Sabak Bernam di Pusat Konvensyen Shah Alam hari ini.

Amirudin berkata pelaksanaan projek Rumah Idaman bakal menyelesaikan masalah pemilikan rumah golongan B40 dan M40 selain menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri serta peluang pekerjaan.