Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

YB Juwairiya tegas atasi pencemaran sungai, keciciran murid

ANTARA cabaran awal yang dihadapi Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati adalah pencemaran Sungai Buloh di Kuala Selangor.

Justeru, Juwairiya Zulkifli, 35, melancarkan misi menyelamatkan sungai itu bagi memastikan mata pencarian nelayan dan reputasi kawasan itu sebagai destinasi pelancongan tidak terus terjejas.

Sebelum ini, kualitinya air turun daripada kategori sederhana tercemar kepada tercemar.

Berkhidmat penggal pertama, beliau kerap turun padang, malah rajin membangkitkan isu itu dalam sidang Dewan Negeri Selangor. Juwariya juga menulis kepada agensi berkaitan termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Juwairiya bertekad masalah akibat pembuangan sisa kumbahan kilang dan kegiatan pertanian yang berlarutan lebih 15 tahun harus dinoktahkan. Usahanya membuahkan hasil sejak pertengahan tahun lalu apabila pihak berkuasa melakukan siri siasatan dan perbincangan untuk mencari jalan penyelesaian.

“Pencemaran Sungai Buloh menjejaskan pendapatan penduduk termasuk nelayan dan memberi imej negatif kepada perkembangan sektor pelancongan di Kuala Selangor,” katanya kepada SelangorKini.

Berhenti sekolah

Juwairiya juga berusaha mengatasi masalah keciciran dalam kalangan murid akibat kesempitan hidup. Sesetengah kanak-kanak atau remaja dikesan bekerja bagi membantu keluarga.

Juwairiya Zulkifli

Sejak 2018, beliau membantu empat murid kembali ke sekolah. Mereka meninggalkan bangku persekolahan berikutan kematian bapa. Ibu mereka pula mengalami masalah kesihatan dan menjaga adik bongsu yang masih bayi.

“Abang bekerja sebagai mekanik dan adik pula mengambil upah menggubah bunga malai. Apabila ditanya kedua-duanya masih mahu ke sekolah tetapi perlu membantu keluarga.

“Mereka sebenarnya tiada pilihan selain berhenti sekolah. Jadi, kita bantu dengan sediakan dokumen persekolahan dan pada masa sama memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk keluarga mereka,” katanya.

Juwairiya bertemu pengurusan sekolah yang turut memberitahunya ada pelajar datang dalam keadaan tidak bersedia atau selekeh.

“Ada murid terpaksa bekerja sebelum ke sekolah. Perkara seperti itu tidak harus berlaku kerana individu bawah usia 18 tahun tidak boleh bekerja mengikut Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan).

“Jadi pentingnya bagi saya tumpu usaha mengatasi masalah keciciran murid ini kerana hanya melalui pendidikan mereka dapat mengubah kehidupan keluarga pada masa depan,” katanya.

Beliau juga memastikan destinasi pelancongan seperti Sky Mirror, kelip-kelip di Kampung Kuantan, memberi makan kepada helang, Bukit Melawati dan Muzium Daerah Kuala Selangor terjaga dengan baik, malah turut mempromosikannya.

Juwairiya percaya kehadiran pelancong memberi pulangan lumayan kepada penduduk setempat. Justeru, Juwairiya mengambil inisiatif menerbitkan video promosi pelancongan Cuti-Cuti Kuala Selangor.

“Perbincangan juga diadakan dengan Tourism Selangor untuk mempromosikan kawasan pelancongan dalam DUN Bukit Melawati,” jelas beliau.

Penerima insentif di DUN Bukit Melawati:

1. Skim Insurans Peduli Sihat: 1,914 orang
2. Skim Mesra Usia Emas: 910 orang
3. Kad Kasih Ibu Smart Selangor: 272 orang