Categories
ADN SELANGOR

ADN Meru gerak kempen didik warga asing urus sampah

SHAH ALAM, 2 OKT: Ahli Dewan Negeri Meru giat menggerakkan kempen kesedaran kepada warga asing yang kebanyakan bekerja di kilang supaya tidak membuang sampah merata-rata terutama ke dalam sistem saliran.

Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata inisiatif itu diambil berikutan longkang dan parit di Dewan Undangan Negeri itu kerap dipenuhi sampah sarap sehingga berisiko menjadi punca banjir kilat.

“Saya mendapat aduan ada di kalangan mereka membuang sampah merata-rata termasuk ke dalam sungai dan parit, perkara sebegini tidak boleh dibiarkan, oleh itu saya sendiri mengambil inisiatif berjumpa mereka.

“Kempen ini sudah digerakkan pada Februari lalu tetapi terpaksa dihentikan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini berjalan kembali supaya masalah ini dapat dibendung,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, Mohd Fakhrulrazi membuat tinjauan di sebuah parit di Sungai Kapar Indah yang dipenuhi dengan sampah dan memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan yang akan bertindak dalam masa terdekat.

“Masyarakat tidak boleh bergantung dengan PBT semata-mata, sebaliknya perlu lebih bertanggungjawab menjaga kebersihan tempat sendiri,” katanya.