Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

ADN: Penting jaga kebersihan, tarikan pelancong ke Sekinchan

SHAH ALAM, 17 OKT: Persekitaran yang indah dan bersih di Sekinchan bakal mendorong kemasukan lebih ramai pelancong ke daerah itu selepas pandemik Covid-19 pulih.

Ahli Dewan Negerinya Ng Suee Lim berkata kerjasama masyarakat setempat untuk memelihara kebersihan di kawasan tumpuan pelancong amat penting.

“Selain daripada pembangunan sedia ada yang dijana di sini, kita sedang mengorak langkah untuk membangunkan sektor pelancongan kerana saya percaya ramai lagi (pelancong) akan masuk (ke Sekinchan) selepas PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).

“Kita perlu memastikan Sekinchan kekal hijau, tenang dan harmoni serta mengelak pembuangan sampah-sarap di merata-rata sehingga boleh mencacatkan pemandangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program penyerahan sumbangan 100 unit tong sampah jenis Mobile Garbage Bin (MGB) 240 liter di Tokong Sekinchan Xian Fa Shi Gong Gu Miao di sini semalam.

Sumbangan diserahkan Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Ramli Mohd Tahir untuk ditempatkan di masjid, tokong, kuil, sekolah dan Pantai Redang, Sekinchan.

Sekinchan menawarkan pelbagai produk pelancongan menarik seperti makanan laut, pemandangan sawah padi dan produk industri kecil dan sederhana. Foto SELANGORKINI

Suee Lim berkata pemberian tong sampah berkenaan cukup bermakna dan membantu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pengurusan sisa pepejal dengan efektif.

“Saya berterima kasih atas budi bicara unit tanggungjawab sosial korporat (CSR) KDEBWM kerana meluluskan permohonan untuk mendapatkan tong sampah berkenaan malah berharap ada lagi sumbangan pada tahun-tahun akan datang.

“Pada masa sama, saya mahu ahli majlis, ketua kampung dan ketua komuniti supaya dapat bekerjasama dengan KDEBWM dalam menyalurkan maklumat berkaitan sampah-sarap bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.