Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

ADN Taman Templer bina pusat jualan, bantu peniaga terjejas wabak

Wakil rakyat Taman Templer merangka inisiatif khas bagi membantu penduduk terjejas akibat penularan Covid-19 untuk kembali bangkit menjana pendapatan.

Menerusi program yang diselenggara pusat khidmatnya, Mohd Sany Hamzan, 43, menyediakan bantuan pinjaman pelbagai peralatan perniagaan.

Mana-mana individu yang mahu memulakan perniagaan boleh meminjam dapur, payung, kerusi dan mesin tebu untuk digunakan pada bila-bila masa.

“Juga disediakan mesin pemotong rumput bagi mereka yang hendak menjalankan perkhidmatan itu. Kita turut bantu dari segi pengurusan kewangan dan permohonan lesen sementara daripada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) serta mencari lokasi perniagaan.

Mohd Sany Hamzan

“Setakat ini, ada 15 penerima disenarai pendek bagi mendapatkan bantuan pinjaman peralatan,” katanya kepada SelangorKini.

Hasrat Mohd Sany untuk meningkatkan pendapatan rakyat diperkukuhkan dengan membuka Templer Mart yang dijadual beroperasi pada November depan. Premis di Taman Selayang Segar akan menempatkan pelbagai produk yang dihasilkan penduduk.

Beliau berharap premis kendalian Pusat Khidmat Masyarakat Taman Templer dengan kerjasama Pusat Wanita Berdaya (PWB) menjadi platform golongan kurang berkemampuan dan wanita mengubah nasib mereka melalui jualan produk.

“Mereka boleh letakkan apa jua barangan dari makanan hingga kraftangan. Saya lihat banyak produk dihasilkan penduduk Taman Templer berpotensi untuk dipasarkan. Kita juga bantu dari segi promosi dengan menghasilkan video khas,” katanya.

Pada awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mohd Sany memfokus kepada penyaluran bantuan makanan asas yang sehingga kini dianggar 5,000 pek.

Turun padang

Kesungguhannya terbukti berikutan Mohd Sany, tetap ligat turun padang sekalipun terpaksa bertongkat. Ternyata, patah kaki ketika menyertai misi kemanusiaan di Palu, Indonesia pada 2018 tidak menjejaskan semangatnya.

Mohd Sany Hamzan (kanan) menyerahkan bantuan kewangan dan keperluan asas kepada penduduk memerlukan dalam program Ziarah Kasih 3 di DUN Taman Templer, baru-baru ini

Beliau sebaliknya meneruskan program Ziarah Kasih 3, program yang diperkenalkannya sejak menjadi wakil rakyat bagi membantu sekurang-kurangnya tiga rumah miskin pada setiap hari. Beliau atau wakilnya menziarah sambil membawa bantuan kewangan dan makanan asas.

Bahkan, beliau turut menyediakan ‘kereta peduli rakyat’ bagi memudahkan warga emas dan orang kelainan upaya berurusan di pejabat kerajaan. Mohd Sany percaya sentuhan sedemikian mendekatkan dirinya dengan rakyat.

Perancangan naik taraf prasarana tidak diabai. Beliau sering membangkitkan isu kepada pihak berkuasa supaya sesuatu tindakan dapat disegerakan.

Projek siap dan dalam perancangan di Taman Templer:

– Naik taraf padang bola sepak di Batu 16, Rawang dengan peruntukan RM120,000 (siap)
– Memulihkan projek terbengkalai Apartment Kristal di Kampung Bendahara (bermula Februari 2021)
– Naik taraf kolam air panas dengan kos RM4 juta (dalam proses awal)
– Penggantian paip lama berusia 30-40 tahun di Selayang Pandang dan Selayang Baru (sedang berjalan)
– Naik taraf jajaran Sungai Udang untuk mengatasi masalah banjir kilat (dalam proses pengambilan tanah)
– Membantu pembinaan masjid di Selayang Mutiara dan naik taraf Surau Al-Furqan menjadi masjid di Bandar Baru Selayang