Categories
ADN SELANGOR

Air pasang besar di Morib terkawal, limpahan hanya di Taman Harmoni

SHAH ALAM, 17 OKT: Fenomena air laut pasang besar yang melanda di pesisir pantai hari ini menyebabkan limpahan air di atas jalan sekitar Taman Harmoni, Morib.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib bagaimanapun berkata keadaan tersebut adalah terkawal dan kebiasaannya akan surut dalam tempoh sejam.

“Kawasan dijangka terjejas bermula dari Pantai Morib sehingga ke Pantai Kelanang dan perumahan Taman Harmoni terletak paling dekat dengan kawasan pantai iaitu kira-kira 200 meter.

“Kita bersyukur kerana kawasan berhampiran perumahan masih banyak hutan bakau, jadi sekurang-kurangnya ia sedikit terlindung daripada menerima limpahan air yang banyak,” kata Hasnul Baharuddin kepada SelangorKini hari ini.

Beliau turut mengingatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah sentiasa bersedia dengan limpahan air laut sekiranya berlaku hujan lebat.

Sebanyak 52 kawasan di lima daerah, Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam berisiko tinggi mengalami banjir akibat fenomena air pasang besar gelombang kedua bermula hari ini hingga Isnin dengan jangkaan paras air laut pada tahap maksimum iaitu 5.8 meter.

Air pasang besar pertama kali berlaku pada 19 hingga 20 September dan gelombang ketiga dijangka berlaku pada 15 hingga 16 November depan.