Categories
AGENSI SELANGOR

Baharui lesen niaga risiko rendah dalam talian mulai hari ini – MPSJ

SUBANG JAYA, 1 OKT: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melaksanakan proses pembaharuan lesen perniagaan berisiko rendah serta iklan untuk tahun hadapan secara dalam talian mulai hari ini hingga 31 Disember ini.

Yang dipertuanya berkata kaedah ‘zero kaunter’ itu sejajar amalan norma baharu susulan penularan Covid-19.

“Ini dapat mengurangkan risiko penularan wabak melalui kesesakan pelanggan selain mengelakkan berlaku kontak rapat semasa proses semakan dan pembaharuan.

“Lebih 80 peratus pemegang lesen terdiri daripada lesen berisiko rendah antaranya pengusaha kedai makan, premis perniagaan atau pejabat,” kata Noraini Roslan ketika Mesyuarat Penuh Majlis Perbandaran Subang Jaya di sini semalam.

Pembaharuan boleh dilaksanakan melalui laman web http:/www.mpsj.gov.my selain pelanggan perlu mendaftar dengan My@MPSJ terlebih dahulu.

“Pemegang lesen berisiko seperti pengusaha kelab malam tetap perlu memperbaharui lesen di kaunter bersepadu mengikut tatacara operasi piawai (SOP) dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang setiap Isnin hingga Jumaat,” katanya.