Categories
AGENDA NASIONAL

Bantuan RM2 juta kepada pengusaha tadika terjejas pandemik Covid-19

SHAH ALAM, 30 OKT: Dato’ Menteri Besar mengumumkan inisiatif Bantuan Pengusaha dan Guru-guru Tadika berjumlah RM2 juta susulan penularan Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan terbabit dikhaskan kepada pengusaha tadika yang tidak dapat menjalankan operasi perniagaan ketika krisis pandemik itu melanda.

“Berdasarkan data diterima daripada persatuan taska Selangor, sebanyak 2,039 tadika terkesan. Antara kesan ketara adalah pengusaha perlu menanggung kos tambahan bagi mematuhi tatacara operasi piawai (SOP),” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2021 di sini.

Amirudin turut mengumumkan dana RM200,000 bagi golongan wanita mengikuti program khusus kerja dari rumah pada tahun hadapan.

“Program ini dijalankan selama dua tahun. Hasilnya kumpulan ini berjaya melancarkan produk khusus golongan wanita Selangor iaitu Tanjung Suri selepas mendapat kerjasama pusat beli belah Isetan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

“Kerajaan turut menyediakan sejumlah RM300,000 bagi melangsungkan Ekspo Hasil Suri Selangor (HaSSel) 2.0 selepas melihat sambutan menggalakkan dengan menarik 5,000 pengunjung,” katanya.