Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bekalan air di semua 274 kawasan pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 9 OKT: Bekalan air di semua 274 kawasan di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala
Langat, Sepang dan Putrajaya pulih sepenuhnya.

Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) memaklumkan air bersih yang disalurkan kepada pengguna melalui ujian kualiti dan pematuhan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Secara keseluruhannya, Pelan Pemulihan Bekalan Air berjaya dilaksanakan 12 jam lebih awal daripada yang dijadualkan setelah Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi kembali beroperasi.

“Air Selangor ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat khususnya pengguna atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan tidak berjadual ini,” kata Ketua Komunikasi Korporatnya Elina Baseri.

Beliau turut berterima kasih kepada Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd, Pengurusan Air Pahang Berhad, Syarikat Air Melaka Berhad, Lembaga Air Perak, Syarikat Ranhill SAJ Sdn Bhd, Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd dan Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd yang turut membantu.

Dalam pada itu, Elina menggalakkan kerjasama daripada pihak berkuasa dan pengguna untuk bersama memelihara sungai daripada tercemar serta segera melaporkan aktiviti mencurigakan.

“Air Selangor akan berusaha sedaya mungkin untuk memberi sokongan kepada komuniti dalam inisiatif menjaga dan memelihara sungai kita.

“Air Selangor menyarankan pengguna untuk mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air melalui saluran komunikasi rasmi dengan merujuk aplikasi, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com,” kata beliau lagi.