Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: 199 institusi pendidikan Islam di Seremban tutup 16 hari

SEREMBAN, 25 OKT: Sebanyak 199 institusi pendidikan Islam di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) di daerah Seremban diarah tutup selama 16 hari mulai hari ini sehingga 9 November, susulan daerah berkenaan diisytihar sebagai zon merah.

JHEAINS menerusi kenyataan di sini, hari ini memaklumkan penutupan itu merangkumi institusi pendidikan Islam berdaftar dengan jabatan itu seperti Sekolah Agama Rakyat (SAR), Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Kelas Agama Petang (KAP), Sekolah Rendah Islam (SRI), tadika Islam, sekolah menengah Islam, maahad tahfiz, madrasah, pondok serta institusi pendidikan yang mempunyai asrama.

“Keputusan ini selaras dengan perutusan khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 6 Okt lepas berhubung keputusan kerajaan untuk menutup sekolah di kawasan-kawasan yang disahkan zon merah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan semua murid atau pelajar yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau murid yang ingin terus kekal berada di asrama institusi pendidikan sepanjang tempoh penutupan akan berada di bawah penjagaan warden asrama atau pemantauan pentadbir.

“Keperluan makan dan minum murid serta pelajar sepanjang tempoh itu akan disediakan oleh pihak sekolah dan institusi pendidikan berkenaan,” menurut JHEAINS.

JHEAINS menjelaskan sepanjang tempoh penutupan itu, semua pentadbir sekolah dan institusi pendidikan diarah memastikan guru, tenaga pengajar serta murid dan pelajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di rumah dengan merujuk surat jabatan bertarikh 19 Jun mengenai kaedah pelaksanaan PdP secara dalam talian.

“JHEAINS sentiasa prihatin dalam menjalankan usaha pencegahan bersama pihak berwajib dalam menangani penularan wabak Covid-19. Sebarang makluman penutupan institusi pendidikan di bawah JHEAINS akan dibuat dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

Senarai kesemua 199 institusi pendidikan Islam yang terlibat boleh diakses di portal rasmi JHEAINS.

Semalam, Negeri Sembilan merekodkan 96 kes baharu Covid-19 yang kesemuanya di Seremban menjadikan jumlah keseluruhan kes di daerah itu sebanyak 1,290.

Seremban mencatatkan 179 kes aktif Covid-19, diikuti Rembau (10), Port Dickson (lima), Tampin (empat), manakala tiada kes direkodkan di Jelebu, Kuala Pilah dan Jempol.

-BERNAMA