Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Dagangan Malaysia naik 5.5 peratus kepada RM155.88 bilion

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Jumlah perdagangan Malaysia pada September 2020 meningkat 5.5 peratus kepada RM155.88 bilion berbanding September 2019.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) berkata kenaikan perdagangan ini direkodkan terutamanya dengan China, Hong Kong, Amerika Syarikat (AS), Belanda dan Taiwan.

“Eksport pulih dengan pertumbuhan dua digit sebanyak 13.6 peratus kepada RM88.93 bilion, iaitu nilai eksport tertinggi pernah direkodkan bagi bulan September, 2020 manakala import menyusut 3.6 peratus kepada RM66.96 bilion,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Miti berkata eksport barangan perkilangan dan keluaran pertanian mencatatkan pertumbuhan dua digit pada September 2020.

“Eksport barangan perkilangan pada September 2020 yang merangkumi 87.7 peratus daripada jumlah eksport, berkembang 16.3 peratus tahun ke tahun kepada RM77.99 bilion

“Pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh kenaikan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), keluaran getah, barangan perkilangan lain terutamanya peranti ‘solid-state storage’ (SSD), barangan besi dan keluli serta barangan optik dan saintifik.

Ia berkata eksport keluaran pertanian melonjak 26.6 peratus kepada RM6.55 bilion berbanding September 2019, disokong terutamanya oleh kenaikan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

Miti berkata produk elektrik dan elektronik turut memacu eksport ke Asean pada September 2020, dengan menyumbang RM38.79 bilion atau 24.9 peratus kepada jumlah perdagangan Malaysia, mencatatkan peningkatan 0.5 peratus berbanding September 2019.

“Eksport pulih dengan pertumbuhan 6.7 peratus kepada RM23.1 bilion, disokong oleh kenaikan eksport barangan E&E yang meningkat sebanyak 47.8 peratus atau RM3.2 bilion,” katanya.

Dalam pada itu, perdagangan dengan China menyumbang 19.8 peratus kepada jumlah perdagangan Malaysia pada September 2020, meningkat 21.5 peratus tahun ke tahun kepada RM30.85 bilion.

“Eksport ke China melonjak 41.9 peratus kepada RM15.56 bilion berikutan kenaikan eksport bagi barangan E&E, barangan besi dan keluli serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit,” katanya.

Miti menambah eksport ke AS terus meningkat dengan mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 22.1 peratus kepada RM10.32 bilion pada September 2020 berikutan kenaikan dicatatkan bagi keluaran getah, barangan E&E, barangan kayu, jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan perkilangan lain.

Eksport ke Eropah telah pulih kembali dengan peningkatan dua digit sebanyak 28.6 peratus kepada RM8.63 bilion, disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan E&E, keluaran getah, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta barangan perkilangan logam.

Sementara itu, barangan perkilangan telah mengimbangi pengurangan eksport ke Jepun sebanyak 11.3 peratus kepada RM4.76 bilion disebabkan terutamanya oleh penurunan eksport gas asli cecair (LNG).

“Penguncupan ini bagaimanapun, telah diimbangi oleh kenaikan eksport barangan perkilangan yang berkembang sebanyak 1.6 peratus kepada RM3.67 bilion,” tambahnya.

-BERNAMA