Categories
EXCO SELANGOR

EXCO kesihatan: Elak kawasan berisiko, patuh SOP

SHAH ALAM, 23 OKT: Masyarakat diingatkan untuk mengambil langkah selamat dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan tidak berada di tempat berisiko bagi mengelak jangkitan Covid-19.

EXCO kesihatan awam berkata golongan yang mempunyai penyakit kronik dan warga emas disaran untuk berada di rumah kerana penularan jangkitan tanpa gejala wujud dalam kalangan masyarakat.

“Kita perlu ingat Covid-19 tidak sama sekali melupakan kita kerana ia berada di mana-mana, tapi sayangnya masyarakat kita mudah alpa dengan kelonggaran diberikan sebelum ini.

“Kita perlu lebih peka terutama di kawasan yang ramai orang,” kata Dr Siti Mariah Mahmud ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan sebelum ini pelbagai rungutan disuarakan ketika permulaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan namun sikap sambil lewa dan keengganan mematuhi SOP selepas kelonggaran diberikan menyebabkan angka positif kembali meningkat.

Siti Mariah berkata jika sikap lalai diteruskan ia akan menyukarkan usaha semua pihak untuk membendung penularan Covid-19 yang merekodkan peningkatan kes positif kebelakangan ini.

Semalam jumlah kes baharu Covid-19 di negara ini kembali melonjak kepada 847 kes selepas mencatat penurunan sebelumnya selain turut merekodkan lima lagi kematian baharu dan 486 kes pulih.