Categories
AGENSI SELANGOR

Fenomena air pasang: Limpahan berlaku, tiada penduduk terjejas

SHAH ALAM, 17 OKT: Paras air laut meningkat dari kebiasaan pagi ini akibat fenomen air pasang namun semuanya terkawal, kata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.

Penolong pengarah operasi berkata limpahan air berlaku di beberapa kawasan antaranya Kuala Langat, Kuala Selangor dan Tanjong Karang tetapi tidak menjejaskan penduduk.

“Air naik sedikit ke permukaan jalan serta halaman rumah tetapi tiada penduduk yang dipindahkan. Paras air tertinggi direkodkan pagi ini ialah 5.7 meter.

“Semua anggota bersedia dari jam 4.30 pagi bagi memastikan sebarang aktiviti kecemasn dapat ditangani dengan lancar,” kata Hafisham Mohd Noor kepada SelangorKini.

Foto ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.

Fenomena air pasang dijangka melanda Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam bermula hari ini hingga Isnin depan antara jam 6 hingga 7.30 pagi.

Data ramalan Pusat Hidrografi Nasional menjangka kejadian kali ini tertinggi dalam tempoh 20 tahun.