Categories
AGENDA NASIONAL

Iktisass dapat RM15 juta, sedia latihan bertaraf antarabangsa

SHAH ALAM, 30 OKT: Sejumlah RM15 juta diperuntuk bagi meneruskan program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (Iktisass) tahun depan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kerjasama melalui perjanjian usaha sama diwujudkan dengan industri antarabangsa bagi memastikan bidang latihan memenuhi piawaian melalui penyediaan pusat latihan di rantau Asia Tenggara.

“Program ini bersifat holistik dan menyeluruh dengan penglibatan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor bagi melengkapkan ekosistem pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional.

“Melaluinya, peserta akan mempelajari kemahiran, menjalani latihan serta memperoleh peluang pekerjaan untuk melengkapkan kitaran yang dirancang,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2021 di sini hari ini.

Amirudin menjelaskan Kerajaan Negeri akan mewujudkan inkubator bagi mengurangkan kebergantungan terhadap buruh asing mencipta peluang pekerjaan baharu.

Sementara itu, katanya, Kerajaan Negeri akan melakukan ikhtiar berterusan untuk membasmi salah guna dadah dengan peruntukan RM1 juta.

Usaha tersebut meliputi:

– Inisiatif Bersepadu Menangani Penyalahgunaan Dadah melibatkan tiga kawasan rintis
– Program Total Enforcement Community Control (TECC) di 13 kawasan fokus terutama Desa Mentari
– Program pendidikan dan kesedaran di peringkat sekolah serta institut pengajian tinggi