Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar jangkitan Covid-19 negara pada tahap 1.3 hingga 1.5

SHAH ALAM, 18 OKT: Kadar jangkitan semasa atau R-naught (RO) untuk mengukur penyebaran Covid-19 di Malaysia berada pada tahap 1.3 hingga 1.5, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ketika permulaan gelombang ketiga wabak pada 20 September, kadar RO negara ialah 2.2 tetapi berjaya diturunkan ke paras stabil setakat ini.

“Selain itu jika dilihat permulaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac pula, kadar RO ketika itu ialah 3.5 tetapi berjaya diturunkan kepada 0.3, malah negara merekodkan sifar kes pada 16 Julai.

“Kita yakin mampu merekodkan sifar kes sekali lagi tetapi kejayaan ini bergantung kepada kerjasama masyarakat untuk duduk di rumah, patuh tatacara operasi piawai (SOP) serta mengetatkan kawalan sempadan negara,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, istilah RO merujuk kepada kadar purata jangkitan wabak dalam masyarakat. Jika nilai R adalah 4, ia bermaksud setiap kes positif boleh menyebarkan penyakit kepada empat individu lain.

Penularan wabak di negara ini akan berakhir jika berjaya menurunkan nilai R kepada kurang 1 secara berterusan.

Pada 12 September, Noor Hisham berkata risiko penularan Covid-19 di Malaysia melepasi paras kritikal apabila kadar RO untuk mengukur penyebaran wabak tersebut meningkat kepada 2.34.