Categories
AGENDA NASIONAL

Khairat kematian disambung mulai 2021, waris terima RM500

SHAH ALAM, 30 OKT: Bantuan khairat kematian warga emas melalui Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang diberhentikan pada Mei 2019 akan disambung semula mulai 2021.

Dato’ Menteri Besar berkata sejumlah RM7.5 juta disediakan bagi melayakkan waris berdaftar dengan Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) menerima bantuan RM500.

“Kerajaan Selangor juga menyediakan dana RM20 juta bagi melaksanakan program Jom Shopping SMUE. Keseluruhannya berjumlah RM27.5 juta,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di sini.

Amirudin turut mengumumkan peruntukkan RM6 juta bagi menjayakan Program Bank Makanan di 56 Dewan Undangan Negeri sebagai usaha membantu golongan miskin bandar negeri ini.

“Daripada jumlah itu, RM1 juta akan dikhususkan untuk Program Bank Makanan Kanak-kanak, khas untuk kanak-kanak enam tahun ke bawah dari keluarga berpendapatan rendah (B40).

“Kerajaan juga menyediakan kediaman komuniti emas berkonsepkan penempatan sebumbung antara datuk dan cucu bagi menghilang kesunyian, selain mengubah Hotel De Palma Ampang sebagai kediaman dilengkapi pelbagai kemudahan bagi menjaga dan memantau golongan itu,” katanya.