Categories
AGENDA NASIONAL

KPM: Semua institusi pendidikan ditutup sepanjang PKPB

SHAH ALAM, 12 OKT: Semua 1,088 institusi pendidikan yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Selangor ditutup mulai 14 hingga 27 Oktober berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

KPM dalam kenyataan memaklumkan penutupan membabitkan Taman Didikan Kanak-kanak (Tadika), sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah swasta, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru (IPG).

“Penutupan ini membabitkan 935,984 pelajar di Selangor termasuk sekolah di mukim Klang dan Petaling yang ditutup lebih awal,” katanya yang menambah penutupan turut membabitkan Putrajaya dan Kuala Lumpur.

KPM menjelaskan penutupan juga membabitkan institusi pendidikan yang mempunyai asrama dan ibu bapa atau penjaga boleh mengambil pelajar untuk dibawa pulang.

Katanya, bagi pelajar yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau ingin terus kekal berada di asrama akan berada di bawah jagaan warden dan pihak institusi bertanggungjawab menyediakan keperluan makanan sepanjang tempoh tersebut.

“Bagi ibu bapa atau penjaga yang hanya dapat mengambil pelajar dari asrama semasa tempoh PKPB, mereka perlu memaklumkan kepada pihak institusi pendidikan dan seterusnya pentadbir akan mengeluarkan surat kepada ibu bapa atau penjaga.

“Ini adalah sebagai rujukan kepada pihak berkuasa sekiranya mereka mahu merentas daerah untuk mengambil pelajar pulang dari asrama,” katanya.

Bagi pelajar yang menduduki peperiksaan antarabangsa seperti dijadualkan sepanjang tempoh PKPB, mereka hendaklah mendapatkan surat dari sekolah untuk menghadiri peperiksaan.

Hari ini, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dikenakan PKPB bermula jam 12.01 tengah malam, 14 Oktober.

Katanya, arahan dibuat selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan mengambil kira peningkatan kes serta penularan di Klang, Petaling, Gombak, Hulu Langat juga daerah lain.